Pusat Internet 1 Malaysia berada di dalam kawasan Taman Mutiara 1 dan Taman Mutiara 1 adalah di dalam mukim Tras yang berada di daerah Raub. Daerah Raub terbahagi kepada beberapa mukim iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali dan Tras . Raub terletak 110 km daripada Kuala Lumpur dan 265 km dari ibu negeri Pahang iaitu Kuantan. Raub telah ditubuhkan pada abad ke-18. Raub adalah bandar perlombongan emas yang bersejarah, dan industri perlombongan emas kini sedang menaik kerana harga emas telah meningkat dari hari ke hari. Mengikut sejarah, pusat perlombongan Raub telah dinamakan selepas peristiwa sekumpulan pelombong menjejaki emas pada setiap dulang pasir yang mereka gali. Kisah orang lama pula yang menceritakan dalam abad awal ke-19 , mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang). Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya, di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Pasir terdapat di kiri dan kanan tebatan itu serta kelihatan amat bersih. Kedua dua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya. Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan. Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya, hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercayai mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB".

Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "RAUP" sedangkan ejaan sekarang adalah "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan "RAUB" dari "RAUP".