Raub adalah salah sebuah daerah yang terdapat di Pahang yang terdiri daripada 7 buah mukim, 37 buah kampung tradisional dan 9 buah kampung baru China. Raub berlokasi di sebelah barat negeri Pahang dan keluasannya ialah 2,271 kilometer persegi, iaitu 6.34% dari keluasan Pahang (35,823 kilometer persegi).

Raub terletak antara dua banjaran, iaitu Banjaran Utama dan Banjaran Gunung Benom. Ketinggian Raub adalah 160 meter dari atas paras laut dengan purata suhu tahunan 79.5º dan hujan tahunan kira-kira 200 sentimeter. Jarak Raub dengan Kuala Lumpur hanya 130 kilometer dan hanya akan mengambil masa 1½ jam untuk sampai ke bandar kecil ini melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak.

Perkataan Raub (rauk) dalam Bahasa Malaysia bermaksud "genggam". Mengikut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub emas pada setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh J.A. Richardson dalam bukunya, The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub Pahang. Menurutnya, "People found that for every "dulang" of sand there was a handful (raub) of gold" (hlm. 36).

Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.

Kaedah perlombongan yang dijalankan di daerah Raub adalah kaedah bawah tanah (shaft mining) dan ia dimulakan di Lubang Raub (Raub Hole). Daerah yang terlibat dengan perlombongan emas ialah Bukit Koman dan dipercayai perlombongan telah meliputi kawasan bawah tanah hingga ke tengah bandar Raub.

Kawasan bawah tanah antara pekan Bukit Koman dan bandar Raub adalah berlubang dan ini meninggalkan kesan yang buruk kepada pembangunan fizikal bandar. Hingga kini Raub tidak boleh mendirikan bangunan-bangunan tinggi.

Kegiatan perlombongan emas telah meninggalkan warisan sejarah yang berharga untuk daerah Raub. Kebanyakan nama jalan-jalan utama bandar Raub sebelum 1980-an adalah sempena nama pengurus lombong RAGM. Misalnya jalan Bibby Road, sempena nama pengurus pertama, William Bibby dan Mason Road yang juga sempena nama salah seorang pengurus lombong zaman berkenaan.

Kemajuan perlombongan juga menyebabkan bandar Bukit Koman kawasan di mana RAGM beroperasi menjadi terkenal dan mendapat jolokan "Ibu Emas Malaysia". Ia seolah-olah menjadi pusat pelancongan daerah Raub. Ramai pelawat-pelawat asing dari England, Singapura dan beberapa negara lain mengunjungi bandar ini dengan tujuan untuk melihat sendiri kegiatan perlombongan emas.

Bandar Bukit Koman juga menikmati pelbagai kemudahan selepas RAGM memulakan kegiatan, antaranya jalanraya yang menghubungkan Bukit Koman dengan bandar Raub dan Kuala Lumpur, rumah sembelih binatang, kedai, bekalan letrik dan berek tempat tinggal untuk para pekerja dan sebuah sekolah rendah berpengantar bahasa Cina, Yuh Hwa yang dibina pada 1907. Ia merupakan sebagai sekolah kebangsaan Cina kedua tertua di Malaysia.

Ancaman Komunis di semenanjung dan khususnya di daerah Raub pada tahun 40-an menyebabkan langkah-langkah diambil untuk mendirikan penempatan-penempatan baru. Hasilnya muncul kampung-kampung baru yang kekal hingga ke hari ini. Kampung-kampung baru tersebut ialah Cheroh (1948), Sang Lee (1948), Sungai Ruan (1948), Sungai Chetang (1948), Bukit Koman (1949), Sempalit (1950), Sungai Lui (1950), Tras (1950) dan Sungai Klau (1960).

Sesiapa sahaja yang melawat Bukit Fraser melalui jalan Kuala Kubu tidak akan terlepas dari melihat beberapa kampung baru ini (Sang Lee dan Tras) dalam perjalanan mereka ke pusat peranginan ini. Malah kini Raub berkembang maju dan banyak kawasan-kawasan menarik untuk dikunjungi seperti Lata Jarum, Pulau Chekas, Lembah Temir dan lain-lain lagi.

"CINTAI RAUB, JAGALAH DAERAH KITA"