Jika dahulu daerah Raub dikenali sebagai bandar emas, kini ianya lebih dikenali sebagai bandar musang king. Manakan tidaknya, bagaikan tidak hentik musim durian musang king di raub. Menurut akhbar Utusan Malaysia terbitan Ogos 2018 lagi, Raub telah diberi nama jolokkan yang baharu

Berikut adalah keratan laporan berita akhbar tersebut

RAUB 5 Ogos – Daerah ini yang dikenali sebagai ‘Bandar Emas’ berlandaskan industri perlom­bongan emas satu masa dahulu kini diisytiharkan sebagai Bandar Durian Musang King selepas mengambil kira durian Musang King berkuali­ti yang mampu dihasilkan di sini dalam kuantiti yang banyak.

Maka, tidak hairan jika kedatangan masyarakat dari pelbagai negeri ke Raub hanya untuk menikmati isi durian musang king yang semestinya sedap dan berkualiti

   

 

                                            

sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2018/08/raub-digelar-bandar-durian-musang-king/

 

 

Raub adalah salah sebuah daerah yang terdapat di Pahang yang terdiri daripada 7 buah mukim, 37 buah kampung tradisional dan 9 buah kampung baru China. Raub berlokasi di sebelah barat negeri Pahang dan keluasannya ialah 2,271 kilometer persegi, iaitu 6.34% dari keluasan Pahang (35,823 kilometer persegi).

Raub terletak antara dua banjaran, iaitu Banjaran Utama dan Banjaran Gunung Benom. Ketinggian Raub adalah 160 meter dari atas paras laut dengan purata suhu tahunan 79.5º dan hujan tahunan kira-kira 200 sentimeter. Jarak Raub dengan Kuala Lumpur hanya 130 kilometer dan hanya akan mengambil masa 1½ jam untuk sampai ke bandar kecil ini melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak.

Perkataan Raub (rauk) dalam Bahasa Malaysia bermaksud "genggam". Mengikut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub emas pada setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh J.A. Richardson dalam bukunya, The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub Pahang. Menurutnya, "People found that for every "dulang" of sand there was a handful (raub) of gold" (hlm. 36).

Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.

Kaedah perlombongan yang dijalankan di daerah Raub adalah kaedah bawah tanah (shaft mining) dan ia dimulakan di Lubang Raub (Raub Hole). Daerah yang terlibat dengan perlombongan emas ialah Bukit Koman dan dipercayai perlombongan telah meliputi kawasan bawah tanah hingga ke tengah bandar Raub.

Kawasan bawah tanah antara pekan Bukit Koman dan bandar Raub adalah berlubang dan ini meninggalkan kesan yang buruk kepada pembangunan fizikal bandar. Hingga kini Raub tidak boleh mendirikan bangunan-bangunan tinggi.

Kegiatan perlombongan emas telah meninggalkan warisan sejarah yang berharga untuk daerah Raub. Kebanyakan nama jalan-jalan utama bandar Raub sebelum 1980-an adalah sempena nama pengurus lombong RAGM. Misalnya jalan Bibby Road, sempena nama pengurus pertama, William Bibby dan Mason Road yang juga sempena nama salah seorang pengurus lombong zaman berkenaan.

Kemajuan perlombongan juga menyebabkan bandar Bukit Koman kawasan di mana RAGM beroperasi menjadi terkenal dan mendapat jolokan "Ibu Emas Malaysia". Ia seolah-olah menjadi pusat pelancongan daerah Raub. Ramai pelawat-pelawat asing dari England, Singapura dan beberapa negara lain mengunjungi bandar ini dengan tujuan untuk melihat sendiri kegiatan perlombongan emas.

Bandar Bukit Koman juga menikmati pelbagai kemudahan selepas RAGM memulakan kegiatan, antaranya jalanraya yang menghubungkan Bukit Koman dengan bandar Raub dan Kuala Lumpur, rumah sembelih binatang, kedai, bekalan letrik dan berek tempat tinggal untuk para pekerja dan sebuah sekolah rendah berpengantar bahasa Cina, Yuh Hwa yang dibina pada 1907. Ia merupakan sebagai sekolah kebangsaan Cina kedua tertua di Malaysia.

Ancaman Komunis di semenanjung dan khususnya di daerah Raub pada tahun 40-an menyebabkan langkah-langkah diambil untuk mendirikan penempatan-penempatan baru. Hasilnya muncul kampung-kampung baru yang kekal hingga ke hari ini. Kampung-kampung baru tersebut ialah Cheroh (1948), Sang Lee (1948), Sungai Ruan (1948), Sungai Chetang (1948), Bukit Koman (1949), Sempalit (1950), Sungai Lui (1950), Tras (1950) dan Sungai Klau (1960).

Sesiapa sahaja yang melawat Bukit Fraser melalui jalan Kuala Kubu tidak akan terlepas dari melihat beberapa kampung baru ini (Sang Lee dan Tras) dalam perjalanan mereka ke pusat peranginan ini. Malah kini Raub berkembang maju dan banyak kawasan-kawasan menarik untuk dikunjungi seperti Lata Jarum, Pulau Chekas, Lembah Temir dan lain-lain lagi.

"CINTAI RAUB, JAGALAH DAERAH KITA"

Pusat Internet 1 Malaysia berada di dalam kawasan Taman Mutiara 1 dan Taman Mutiara 1 adalah di dalam mukim Tras yang berada di daerah Raub. Daerah Raub terbahagi kepada beberapa mukim iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali dan Tras . Raub terletak 110 km daripada Kuala Lumpur dan 265 km dari ibu negeri Pahang iaitu Kuantan. Raub telah ditubuhkan pada abad ke-18. Raub adalah bandar perlombongan emas yang bersejarah, dan industri perlombongan emas kini sedang menaik kerana harga emas telah meningkat dari hari ke hari. Mengikut sejarah, pusat perlombongan Raub telah dinamakan selepas peristiwa sekumpulan pelombong menjejaki emas pada setiap dulang pasir yang mereka gali. Kisah orang lama pula yang menceritakan dalam abad awal ke-19 , mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang). Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya, di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Pasir terdapat di kiri dan kanan tebatan itu serta kelihatan amat bersih. Kedua dua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya. Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan. Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya, hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercayai mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB".

Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "RAUP" sedangkan ejaan sekarang adalah "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan "RAUB" dari "RAUP".